24 December, 2011

Orang Putih Kecewa Dengan Gereja

Kini saya tengah berada di bumi Mat Salleh Eropah ini sejak tanggal 7hb Oktober 2011 dan akan berangkat ke Amerika Latin pada tanggal 4hb Januari 2012 nanti.

Sejak jejak kaki sini buat kali ke empat dalam hidup saya, telah menjelajah dari kota ke kota - Paris, Munich, Kempten, Krefeld, Hamburg, Berlin, Bonn, Vienna, Praque dan Budweiser.

Ramai sekali kekawan saya yang ajak saya duduk sekali sambil berkongsi pengalaman dan kisah hidup sehingga telanjur sejarah Perang Dunia ke-2 dan juga sejarah lama Gereja.

Yang jelas sekali kawan-kawan saya di sini boleh dikatakan kesemua mereka cukup benci tentang peranan Gereja sejak berkurun-kurun lamanya digunakan untuk mengabdikan mereka sebagai keseninambungan kuasa Rum sejak zaman Konstantinople (kini Istanbul) lagi.

Mereka sedar bahawa Gereja adalah satu institusi yang disalah-lakukan oleh kuasa penjajah masa itu (Rumawi) yang semakin pudar pengaruhnya ke atas bumi Eropah. Rum perlu nafas baru lalu meniupkan semangat keagamaan dengan mencampurkan-adukan kepercayaan lama Rum itu dengan kepercayaan baru tentang Nabi Isa yang baharu dan popular masa itu.

Gereja memainkan peranan mencengkam kuasa Raja dan Kerajaan bernegara sehingga akhirnya cendiakawan dan rakyat jelata bangkit menolaknya serta memperkenalkan konsep sekularisma atau memisahkan kuasa gereja dari kuasa pemerintahan. Banyak kisah korupsi, salah-laku seks dan amalan konspirasi politik berlaku sepanjang zaman gereja sehinggalah ke hari ini walauun sudah menerima konsep sekular.

Tetapi saki-baki usaha pembaharuan kepercayaan Rumawi seperti Hari Lahir Tuhan Matahari iaitu Apollo yang jatuh pada tanggal 25hb Disember masih terlepas sebagai hari lahir Nabi Isa, dan konsep Triniti atau tiga tuhan dipergunakan untuk mencerminkan kepercayaan dan keserasian Rumawi kepada pelbagai tuhan maupun konsep anak tuhan.

Pokok Krismas misalnya pada asalnya merupakan satu simbol pagan atau anisma zaman kuno sebelum kedatangan Nabi Isa.

Santa Klaus juga merupakan satu simbol atau institusi adat yang tidak jelas sumber atau asal-usulnya.

Perayaan Hari Natal atau Krismas selama ini lebih merupakan hari libur untuk bersuka-ria dan tiada kaitan rapat lagi dengan keaslian risalah atau kisah Nabi Isa a.s.

Akhirnya kuasa Rum tinggal Vatican City di Italy dan tidak ramai malah tiada kawan-kawan saya yang pergi menghadiri aktiviti gereja setiap hari Ahad walaupun diajak oleh saya sendiri! Malah saya mendapati pengaruh Kristian terlebih sangat kuat di luar Eropah seperti di Filipina dimana orang Filipina yang beragama Kristian wajib baca doa dan buat isyarat salib setiap kali sebelum makan. Begitu juga nanti apabila saya berada di bumi Latin Amerika akan pasti saya berjumpa dengan puak yang lebih fanatik tentang agama tersebut yang jelas tiada lagi pengaruh di bumi asalnya sendiri.

(Gambar, dari atas:
Pandangan di sebuah ruang dalam di pekan Budweiser, Republik Czech;
berceramah di Universiti Landshut, dekat Munich, Jerman;
Bersiar-siar di Pasar Malam termasyur kota Vienna, Austria;
Dalam sebuah gereja termasyur Vienna;
Pandangan salah satu patung tradisi di kota Hamburg, Jerman;
Bersama seorang pakar IT di Paris;
Bersama sambutan 125 tahun keluarga Bayen di Krefeld, Jerman.

29 August, 2011

Beriman Dengan Kitab Bible



Saya lahir ke dunia ini sebagai seorang Kristian yang beriman kepada kitab Bible. Oleh kerana waktu kecil saya tiada kitab lain yang ada di rumah, saya terhafal banyak kisah dan ayat dalamnya. Ada satu kisah mengenai Nabi Isa di mana baginda berpuasa selama 40 hari dan malam dan berbuka hanya dengan minum air susu. Selepas selesai tempoh puasanya, baginda didatangi Iblis yang mengujinya dengan kata-kata,
Kamu diberi mukjizat oleh Tuhan untuk dapat menukar batu kepada roti. Maka lakukanlah,
lalu Nabi Isa a.s menjawab,
Manusia tidak boleh hidup atas roti dan makanan semata-mata, tetapi atas setiap ayat yang hidup dari Tuhan

Maka saya tertanya apakah 'ayat Tuhan yang hidup?' Pada akhir kitab Injil ada tertera,
Sekiranya saya menulis semua yang Jesus Christ cerita, maka tidak cukuplah kertas dan dawat untuk menulisnya.
Ini bagi tahu saya bahawa Bible sudah menjadi hasil kerja manusia disamping Tuhan.
Apabila saya mula mengenal Al-Quran saya menyaksikan bagaimana ayat-ayatnya begitu tersusun dan bermakna. Ayat yang awal sekali terbaca
Dengan Nama Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
begitu menyerap jiwa saya kerana merupakan satu sahutan dan pengesahan tentang kaedah penyampaian serta sumber Al-Quran itu. Seterusnya saya membaca,
Itulah kitab, tiada syak di dalamnya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.
Hati saya makin terbuka kerana tiada kata-kata di situ yang menunjukkan ia adalah kitab syaitan sepertimana padri di gereja cuba menakutkan saya jangan membaca Al-Quran. Seterusnya saya sampai kepada ayat,
Iaitu yang beriman kepada yang diturunkan ini dan yang diturunkan sebelumnya (iaitu Torah, Zabur dan Injil).
Lega hati saya kerana selama ini Kitab Bible yang saya hafal masih diwajibkan menjadi pegangan dalam rukun Iman Islam. Maka mudahlah saya terima Islam kerana ia bukanlah agama baru tetapi memperbaharui agama asal manusia. Al-Quran menerangkan semula risalah asal Allah dan memperbetulkan tangkapan silap manusia, yang mengubah dan memasukkan ayat ciptaan manusia sendiri ke dalamnya.

(gambar di atas semasa saya sedang menyampaikan kisah ini pada bulan Ramadhan di sekitar Kelantan sempena siri ceramah mengenai dinar dan dirham sebagai amalan wang dan bukannya wang kertas yang berasaskan riba ciptaan Yahudi)

31 January, 2011

Kebangkitan Pemuda Sahara

Dengan dunia Arab, Muslim dan Barat terpingga-pingga dengan apa yang terletus secara terkejut dan mendadak di Utara Sahara hari ini - dari Tunisia ke Mesir. Kaum pemuda-pemudi yang berusia sekitar remaja sehingga tiga-puluhan mengukir satu hasrat baru iaitu untuk perubahan tanpa iringan ketakutan yang sering menghantui generasi sebelumnya. Saya ingat generasi saya bersalah kerana tidak mampu membawa perubahan tetapi mungkin kerana generasi baru ini jauh berbeza dengan alam Internet ala Facebook dan Twitter. Mereka juga lebih berpendidikan tinggi berbanding generasi ibu-bapa mereka.

Tahun lepas saya mengunjungi Libya dan kemudiannya Syria menyaksikan muda-mudi sana sudah arif dengan facebook dan sering bergayut dengan telefon bimbit. Mereka mempunyai cita-rasa yang tinggi dan ada ramai yang tidak berapa terpengaruh dengan soal agama tetapi lebih kepada soal kebebasan sosial.

Kebangkitan rakyat keluar ke jalan raya di Tunisia dan Mesir serta sedikit sebanyak di Jordan dan Yemen lebih disebabkan dengan ketidak-puasan dengan keadaan paras kemiskinan dan pengangguran mereka. Mereka lebih menginginkan keselesaan hidup dan wang kebendaan lebih daripada soal kebebasan agama, kerana memang di bumi mereka sudah lumrah dengan masjid dan malah ribuan maqam para anbiya, sahabat anbiya dan para awliyah dan ulama.

Semasa saya di Libya saya terkejut gaji pegawai yang mengiring saya dari Kementerian hanya sekitar 300 dinar sebulan iaitu kurang dari seribu ringgit secara kuasa membeli. Beliau membawa kereta cukup terbaru dan minyak sana memang murah. Tambah pula kerajaan Muamar Qadhafi meyediakan pendidikan percuma sehingga peringkat Universiti. Tetapi ramai daripada mereka terlalu bergantung kepada pekerjaan dari Kerajaan Pusat iaitu sejuta rakyat Libya adalah kaki-tangan kerajaan padahal jumlah penduduk hanya 6 juta orang. Bermakna Libya mengamalkan sistem negara kebajikan.

Tetapi revolusi mental yang lebih ketara bukanlah dari keadilan sosial tetapi lebih kepada kebebasan sosial. Kaum muda-mudi sana sudah bosan dengan retorik agama dan nasionalis semata-mata yang mereka asyik dengar sebelum lahir lagi. Di Iran pun sama. Ada seorang graduan terbijak sana yang memenangi anugerah pencipta cemerlang lari dari sana dan terjumpa dengan saya kerana ingin mengenal sistem perisian projek saya, menyatakan kepada saya tentang frasnya kaum pelajar sana sehingga 90% pemuda sana memang membangkang Presiden Iran yang ada sekarang.

Penurunan rakyat ke jalan raya di Kahirah dan merata lagi bandaraya utara Sahara dan bumi Arab tidak lagi dipimpin oleh jemaah Islam maupun para ulama. Tetapi lebih oleh suara yang serik dengan monopoli dan dominasi puak tertentu. Mereka adalah fenomina baru yang saya sendiri sudah ketinggalan tetapi saya masih prihatin.

(Gambar - 1. Bersama Asma, keturunan Libya-Russia di Persidangan Arab Pertama dalam Media Eletronik di Tripoli. 2. Pandangan saya dari belakang dewan persidangan tentang keselamatan perisian komputer anjuran Syria di Aleppo. 3. Pandangan dari atas kota purba Aleppo atau Halab dalam bahasa Arab. 4. Pandangan di hotel saya di Halab. Bersama seorang sahabat di Suoq masyur dalam kota lama Damascus atau Damasyq.)

18 January, 2011

Bersedia Untuk Mati


Bagi kaum Cina, iaitu bangsa saya sendiri, sebut tentang mati merupakan satu sial atau sueh jika disebut dikhalayak ramai. Mereka cuma mahu dengar benda untung dan duniawi sahaja. Namun jiwa saya mengikut fitrah ingin mengingati tentang mati. Dalam usia saya yang makin lanjut, saya sudah kurang dapat tidur lebih dari 5 jam sehari. Maka saya akan sering terbangun sebelum 5 pagi dan kadang kala 4 pagi.

Saya tidak dapat tidur. Saya akan terjaga dan terus terasa sunyi dalam kegelapan itu. Dalam waktu-waktu itulah di atas kain sejadah saya tafakur untuk apa tujuan hidup saya dan kemana akhirnya saya. Saya juga turut terfikir apa istimewanya waktu solat tahajud.

Rupa-rupanya ia amat membantu kita bertafakur dengan tenang. Kerana waktu itu tiada kebisingan berlaku. Tiada bunyi yang memesong telinga kita. Tiada cahaya yang memesong penglihatan kita. Tiada 'inception' yang sering berlaku waktu siang ujud sangat waktu itu.

Itu keadaan fitrah. Keadaan mati. Keadaan tiada apa disamping kita melainkan roh kita. Masa itu sering saya memohon Allah, tunjuklah hidayahNya, berikanlah ilmuNya. Bukan, bukan ilmu sains, tetapi ilmu hikmah, ilmu yang menerangkan hati. Yang lebih terang dari cahaya matahari waktu siang.

Namun tiada apa-apa yang berlaku. Dalam kegelapan semuanya diam. Dalam diam itu, saya tersedar. Saya tersedar sesuatu perkara yang saya tidak biasa sedar semasa terjaga waktu siang.

Saya sedar tentang persediaan saya untuk mati.

Sesungguhnya Allah yang menghidupkan dan yang mematikan.

(maaf tidak banyak menulis walaupun banyak cerita setelah bermusafir ke Suriya (Syria) yakni Shams, terjumpa banyak maqam para anbiya, sahabat, ulama dan wali. Termasuklah ziarah rumah Azmil Mustapha. Ini satu gambar bersama anaknya di Suoq Damsyiq kerana ayahnya, Azmil uzur beransur pulih dari pembedahan sakit jantung. Kepada saya cerita sedemikian tidak banyak mendorong saya menulis lagi. Mungkin teringat lebih kepada mati daripada dunia, walaupun indah, tetapi akhirat lebih minal ulaaa)