12 April, 2008

Masuk Islam Untuk Apa?

Menurut statistik kebanyakan orang masuk Islam ialah kerana kes kahwin dengan orang Islam. Menurut setengah statistik ia adalah setinggi 90%. Ada 5% peratus pula kerana kes meminta sesuatu habuan mungkin tanah balak atau cuba dapat taraf bumiputera. Hanya 5% sahaja barangkali yang 'none of the above'. (Ini sumber saya dapat masa 80an. Mungkin sekarang berubah).

Patut ada dalam borang pendaftaran kemasukan Islam, dibubuh satu kotak untuk diisi iaitu 'tujuan memeluk Islam'. Juga perlu satu kotak lain yang menyebut sekiranya dia bercerai nanti disebabkan kes kahwin dengan orang Islam, dia tidak boleh berpatah balik kepada agama asalnya. Ini bukan untuk menurunkan semangat orang yang ingin kepada Islam, tetapi membuat orang itu sedar dan mengambil berat yang dia akan memeluk Islam yang amat tinggi mahal nilainya dunia wa akhirat.

Sekarang apakah kita mahu ramai umat yang bergelar Islam secara bilangan atau secara bermutu? Quantitative or qualitative? Secara pragmatik kita harus ada kedua-dua faktor dalam perkiraan kita. Umat Nabi pun mahu ramaikan. Umat Nabi pun nak yang cun-cun dan bijak-bijak belaka. Pernah Datuk Nik Abdul Aziz bagi tahu saya tentang alangkah baiknya ramai Cina masuk Islam,
"Mereka Ceenoh ni kayoh-kayoh belakoh. Demo bayar zakat nanti tinggi-tinggi senang kitoh! Yang orang kito ni biar jadi Sakai tak apo!"

Pernah sekali emak kepada seorang artis tempatan yang masyur (bagi hint sikit, nama berakhir dengan 'a') yang berbangsa Cina yang sudah janda ingin berkahwin lagi dengan seorang teman pilihannya. Emak artis itu adalah kakak kepada seorang rakan rapat saya yang juga Cina Muslim. Janda tersebut asalnya masuk Islam kerana berkahwin dengan seorang berbangsa Melayu, lalu mendapat cahaya mata yang bergelar artis penyanyi tersebut. Lepas dia cerai dia tetap masih Islam dan berkenalan pula dengan seorang Cina totok lalu ingin mendirikan rumah-tangga dengannya. Yang sedikit peliknya lelaki Cina itu datang ke majlis nikah dan masuk Islam secara sekali gus!

Bermakna dia akan lafaz masuk Islam dan kemudiannya lafaz nikah di depan pegawai agama di Jawi (Jabatan Agama Wilayah Persekutuan). Saya diminta oleh kawan saya itu supaya datang sebagai saksi. Apabila diminta membaca dua kalimah sahadah, calon lelaki tidak dapat membacanya. Yang saya cukup bangga dengan pegawai agama itu ialah dia diam sekejap berfikir dan kemudiannya cuba melatihnya membaca kalimah tersebut.

Saya agak tidak puas hati kerana jelas sangat calun ini tidak bersedia dan hanya ingin kahwin dengan si emak artis ini demi kehendak berkahwin dan langsung tidak ada unsur kehendak kepada Islam yang suci itu. Saya pun berbisik-bisik dengan ustaz itu. Beliau pun memberitahu saya,
"Saya tengah berfikir bagaimana hendak bagi jadi, bukan nak bagi tak jadi."

Ungkapan ustaz itu terus melakukan satu anjakan paradigma dalam minda dan hati saya. Ah! Selama ini saya ini asyik bangkang saje dan tanak bagi benda jadi. Bagaimana jika saya ni bertukar sikit perangai buruk saya dan bagi benda jadi. Lepas jadi barulah kita perbaiki.

Saya pun menawarkan diri saya untuk mengajar si calon tak guna itu sehingga bukan sahaja dia mampu melafaz dengan betul malah dapat baca al-fatihah sekurang-kurangnya. Saya terpaksa memendamkan prejudis saya selama seminggu dan minggu seterusnya mereka dapat diijabkabulkan dengan sempurna, alhamdulillah.

Pernah dulu sebelum itu dalam tahun 1980an selepas saya mengaji di IDP, saya menjadi pembantu pengajar sukareleven di Balai Islam Perkim di Jalan Ipoh itu untuk mengajar sesiapa saudara baru untuk mendalami agama Islam. Apabila saya jejak kaki masuk bilik darjah, saya terkejut suka kerana ada empat wanita dan gadis cantik-cantik yang berbilang bangsa duduk dalam kelas menunggu saya. Tercenggang saya sebentar kerana terfikir apakah gerangan dan alamatnya Allah berikan kepada saya kelas malam itu. Saya pun menyuruh mereka memberikan sedikit ta'ruf memperkenalkan diri masing-masing dulu sebelum saya terjumpa ilham untuk meneruskan entah apa isi kuliah saya nanti.

Satu persatu memberitahu latar-belakang mereka, yakni satu berbangsa portugis campur, satu orang putih tak campur, satu serani campur, dan satu entah campur apa dah lupa saya dah. Semua lawa-lawa berpakaian moden menambahkan misteri dalam kepala saya. Kemudian satu ilham datang kepada saya. Ini kerana sebelum naik ke dalam kelas saya ternampak ada beberapa 'boyfriend' duduk tunggu dibawah dengan kenderaan masing-masing. Hmm, mereka ini mesti kes kahwin ini.

Saya pun memulakan dengan memberikan sedikit keterangan ekoran muqadimmah masing-masing yang tidak mengaku kerana kes nak kahwin tetapi macam-macamlah kononnya ingin tahu lagilah dan sebagainya. Mereka ini inginkan lapuran positif dari Perkim supaya mendapat kad hijau dengan mudah dan bolehlah kahwin cepat. Selagi tak dapat green light dari kami mereka terpaksalah asyik naik turun kelas kita untuk waktu yang lama.

"It does not matter how you came to Islam. What is important is that you are now in Islam.." - Adalah tidak berapa penting yang cara masing-masing saudari comel loteh ini datang ke Islam. Yang penting ialah anda sudah muslim. Kini anda belajar apa yang perlu buat sebagai seorang muslim.

Cepat mereka hilang selepas tu apabila dapat lampu hijau. Mujurlah, orang ganu kata. Semoga hidup bahgia dunia akhirat.

Ada pula satu lelaki pertengahan umur tak habis-habis datang kelas saya. Dia tu seorang drebar teksi yang tak fasih bahasa Melayu. Dia pulak memberi pengakuan kepada saya bahawa dia tengah sebumbung dan serumah dengan seorang janda melayu. Saya pun marahnya mengapa tidak nikah terus. Dia jawab itu kad hijau belum dapat. Mengapa tak pass test dari Jawi? Dia jawab macamana mahu pass? Jawi test dalam bahasa Melayu sedangkan dia hanya tahu bahasa Hokkien dengan Inggeris sahaja. Lagipun otak drebar teksi ni slow sikit. Bukan macam para wanita tadi.

Saya pun bawa kesnya ke Jawi. Tetapi ustaz waktu itu kurang faham macam ustaz yang lagi satu dalam kes emak artis di atas, yang hidup zaman kemudiannya. Ustaz zaman lama itu berkata,
"Tak boleh kasi dia kad hijau selagi tak pas ujian agama dalam bahasa melayu. Nanti apa-apa berlaku cerai ke, kita plak yang kena".

Saya terus bidas ustaz itu kerana mengizinkan satu penzinaan berterusan kerana mereka sudah duduk sekatil. Kita wajib nikahkan kes dirikan masjid selaju peluru pistol dan lepaskan semua pihak dari dosa, dan bukan menekan soal yang saya anggap adalah kelemahan kita tidak mampu mendidik dan mengadakan prosedur moden dalam bahasa Cina untuk ujian agama.

Itu masa zaman 80an. Sekarang zaman 00an. Saya percaya orang kita sudah banyak berubah. Jadi ramaikanlah umat kita. Siapa-siapa mahu masuk Islam kasi masuk. Lepas masuk kita kena pakat-pakat bantu mereka bukan sahaja dengan kasih-sayang, tetapi dengan ilmu yang mantap dan lengkap.

1 comment:

Redhuan D. Oon said...

Amin! Bolehlah saya jadi Bilal nanti. :-)

Isu Masjid Cina ini memang sensitif. Semasa saya selaku antara barisan pengasas Macma lagi dibawah pimpinan (arwah) Suleiman Hon dulu, telah diajukan dan mendapat tanah pun di bawah pengaruh Jabatan Agama Islam Selangor. Masa itu kita cuba elak isu sensitif kepada masyarakat kaum lain nanti dengan menyatakan bahawa ia akan bermula sebagai satu Pusat Kebudayaan Islam Cina.

Namun tak naik-naik pun ide itu. Baru ini saya dengar ada tentangan tak sure dari dalam juga kot.

Saya lebih suka tidak timbulkan isu ini dulu, tetapi berikan lebih tempat kepada Cina Muslim, misalannya
1) lantik Hussein Yee sebagai Presiden Perkim ke, atau beliau sebagai seorang penasihat dalam Pusat Islam;
2) lantik Ann Wang Seng sebagai seorang senator yang bebas yang tidak memihak kepada BN maupun PR tetapi untuk berganding bahu dengan Menteri JPM bahagian agama untuk memperelokkan soal-soal releven.

Macamanapun, tqvm because u gave me one bullet. Hope more to come!

red1