30 March, 2008

Peristiwa Hitam Mei 13, 1969

Kami duduk di Kem Wardieburn dari tahun 1970 sehingga 1978 selepas berlakunya Peristiwa Hitam Mei 13. Sebelum itu kami duduk di Setapak iaitu di sebuah rumah besar disalah satu lorong di Air Panas. Rumah yang besar itu bukan kami sekeluarga sahaja yang menduduki. Ada beberapa keluarga termasuk tuan rumah, kesemuanya berbangsa Cina duduk sekali. Kami cuma menyewa sebuah bilik sahaja. Saya rasa kami masuk rumah itu pada tahun 1968 semasa saya berumur 7 tahun baru masuk darjah satu di Sekolah Jalan Kuantan (1) Jenis Kebangsaan Inggeris sesi pagi. Abdul Razak Baginda juga berada di sekolah yang sama tetapi setahun senior dari saya. Pada tahun 1969, saya berada di darjah dua.

Saya ingat lagi setiap tahun sekolah ada tiga semester. Semester pertama ialah dari bulan Januari ke bulan April. Semester kedua dari bulan Mei ke bulan Ogos. Semester tiga ialah dari bulan September ke bulan Disember. Setiap tahun kami pelajar akan diberikan kad lapuran untuk ditandatangani oleh ibu-bapa. Itulah saat paling ditakuti. Sekiranya terdapat markah yang rendah misalannya bawah dari 70/100 rotanlah jawabnya. Mesti dapat 90/100 atau lebih. Sebaik-baiknya 100/100. Bukan sahaja itu, kedudukan dalam kelas tidak boleh 2 angka, mesti 1 angka, yakni kedudukan dari 1 ke 9. Pada semester pertama saya entah macamana pulang ke rumah dengan kad lapuran yang tertera kedudukan saya sebagai 16 dalam kelas. Emak saya terus keluarkan rotan dan merotan saya sehingga saya terlindung di bawah meja. Semester ketiga saya mendapat kedudukan 15 dalam kelas. Kena rotan juga. Untuk semester kedua tiada keputusan. Ini kerana sekolah tergantung buat seketika. Ia bukan untuk menyelamatkan saya kena lebih rotan. Ia adalah peristiwa hitam yang korbankan ramai jiwa. Tetapi hari ini saya tidak ingat berapa lama kita cuti sekolah semasa darurat itu. Saya amat sedar yang kad lapuran saya kosong bagi semester kedua.

Yang lain lagi saya ingat adalah detik-detik pada petang Mei 13 itu sendiri, waktu malam dan keesokan pagi selepas itu, dan lepas itu sedikit saja yang saya ingat. Yang saya tulis sini ialah sekadar yang saya ingat.

Pada petang Mei 13, adalah hari selasa. Ini kerana setiap selasa waktu petang ada tayangan Short Gun Slade, iaitu cerita cowboy dalam televisen. Bilik kami tiada televisen. Saya berdiri di tepi jalan dari luar pagar rumah sebelah menjenguk ke dalam rumah jiran itu supaya dapat tertonton televisennya. Masa itu semua hitam putih. Saya berdiri seorang diri. Rumah-rumah kami stail rumah lama dua tingkat, sebelah dengan tempat simpanan terbuka papan-papan panjang untuk kilang papan. Rumah-rumah dan stor di tepi satu jalan kecil yang merupakan cabang terus turun dari kawasan tinggi jalan besar di seberang Pejabat Pos Setapak yang berhampiran Panggung Wayang Al-Hambra, iaitu Jalan Setapak. Tiba-tiba sebuah lori turun dengan laju menerusi jalan depan saya. Saya dapat lihat seorang berdiri di atas lori itu sedang menjerit dan melaung sambil menghayun sebilah parang. Saya tak ingat apa yang dia pekikkan. Cuma ia adalah dalam bahasa dialek Cina tempatan. Sebaik saja lori itu memintas rumah kita dan menghilangkan diri, suara-suara mula menjerit dari dalam rumah saya. Seterusnya saya berada di dalam rumah dan ramai penghuni sedang terkumpul dan mengejar sini sana. Kami kanak-kanak duduk di atas tangga memandang ke lantai ruang luas di bahagian dapur rumah. Orang dewasa sedang mengumpul paip-paip besi air yang panjang. Mereka mengasah hujung-hujungnya sehingga amat tajam sehingga merupai lembing. Mereka menyusun semuanya di atas lantai di sepanjang dinding. Kami rasa seronok macam berpesta pula kerana aktiviti tersebut nampak pelik dan riuh rendah. Orang dewasa berjaga dalam rumah dengan segala paip-paip tersebut yang sudah disusun dengan banyaknya. Malam itu saya pun tidur.

Pada keesokan pagi emak saya mengejutkan kami supaya berkemas kerana bapa kami sudah sampai. Saya keluar rumah dan nampak bapa saya sampai dalam sebuah landrover askar bersama 2 tentera berbangsa Melayu yang lain. Mereka kelihatan tenang dan macam kawan-kawan. Mereka membawa senjata api, dan bapa saya memegang mesingan. Yang lain meronda sekejap di luar jalan, sambil bapa saya masuk rumah dan kami memasukkan beg baju kami ke dalam landrover tersebut. Pangkat bapa saya waktu itu adalah korporal dan rakan-rakannya pangkat lebih rendah. Bapa saya tanya mereka tentang keadaan sekeliling rumah dan mereka jawab yang semua nampaknya aman. Kami pun semua menaiki landrover tersebut dan menuju ke Jalan Setapak atau Jalan Genting Kelang menuju Jalan Pahang.

Sampai sahaja di jalan tersebut, kami ternampak banyak roadblok oleh Police Field Force. Kenderaan kami terpaksa bergerak perlahan bukan sahaja kerana mengemudi sekeliling roadblok tersebut tetapi juga perlu mengelak banyak kereta yang sudah hangus terbakar disepanjang jalan Setapak menuju bulatan Hospital Besar sebelum belok kiri ke Jalan Gurney untuk memasuki kawasan Mindef iaitu Kementerian Pertahanan.

Kita nampak pada setiap kereta yang terbakar ada yang terbalik dan bertebiaran di situ ada kasut atau selipar dan jelas nampak yang berukuran saiz budak kecil. Terlintas dalam hati saya yang sesuatu mesti sudah terjadi kepada setiap penghuni kenderaan dan empunya kasut dan selipar tersebut. Tetapi saya tidak pasti apa yang terjadi. Tiada orang dewasa yang menerangkan kepada saya. Jika mereka terangkan pun tidak termasuk hati saya, kerana saya tidak ingat apa jua perasaan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku. Saya cuma benar-benar meresapi apa yang berlaku lama kemudian dalam alam yang sudah jauh dewasa. Itupun kesedaran itu timbul secara sendiri dan bukan dari membaca apa jua teks mengenainya secara langsung.

Keadaan jalan-raya sunyi sepi tiada kenderaan lain melainkan landrover kami sebuah sahaja yang berjalan dengan perlahan menuju perkarangan Mindef dimana kami akan duduk disana lebih kurang seminggu lamanya. Semasa di sana saya bersambung lagi perasaan seolah berpesta. Ini disebabkan oleh dua faktor. Yang pertama ialah kami tidak perlu pergi belajar ke sekolah. Kedua kita tidur dan makan secara satu kumpulan besar bersama dengan ramai keluarga yang lain dalam satu dewan besar. Tidur bersusun sepanjang lantai dewan macam stail askar, itu yang seronok. Ramai pergaulan dan bukan macam penjara bilik saya di Air Panas. Apabila sampai waktu makan kami beratur macam askar atau tahanan dengan membawa cawan tin kosong untuk di isi teh susu dan diberi roti 2 keping (itu sebelah pagi) dan nasi dan lauk pra-siap untuk tengah hari dan malam. Saya pun teringat sebatan rotan tidak berlaku langsung minggu tersebut dan kebebasan diberikan untuk merayau bermain dengan sesiapa yang ada disitu.

Selepas semua ini berakhir, saya berasa agak sedih kerana saya semestinya akan dikembalikan kepada alam sekolah dan rotan lagi. Kami duduk kembali di bilik di rumah Air Panas. Bapa saya cuba menyembunyikan mesingannya ke dalam beg baju tetapi tidak muat dan dia terpaksa kembalikannya. Keluarga kami dapat unit flet di Kem Wardieburn pada tahun 1970 dan kami pun berpindah meninggalkan suasana yang 100% sebangsa kepada suasana yang amat aman kerana suasana kem tiada ramai aktiviti peniaga dan rata-rata Melayu atau Iban.

Semasa di Kem, satu hari bapa saya bawa balik sebuah buku agak nipis yang bertajuk Lapuran Mei 13. Saya membacanya dan mula memahami apa yang tejadi tetapi ia tidak membawa impak yang sebenar sehingga alam lebih dewasa lagi. 9 tahun kemudin dalam kursus BTN, saya membidas sesiapa yang menggunakan Mei 13 sebagai taktik mengelakkan berdebatan mengenai hak masyarakat bukan bumiputra.

Selepas saya muslim dan menziarahi kubur ibu mertua ku di Danau Kota, saya ternampak tersusun satu baris perkuburan yang bersaiz kanak-kanak dan tertulis tarikh peninggalan mereka sebagai Mei 14, 1969. Saya mula sedar tentang signifikan tarikh tersebut. Saya mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mula menyelami beratnya makna disebalik dua nombor dan satu bulan dalam hidup rakyat kita.

Selepas pilihanraya kecil Ampang Jaya di mana calon bagi pihak Semangat 46, Datuk Harun Idris (Allahyarhm ke atas arwah) bertanding dan kalah, saya berpeluang menaiki kereta beliau bersama-sama dari kediamannya di Jalan Duta ke Rengit di Johor kerana kita berdua akan berceramah. Saya mendapati Datuk Harun adalah antara manusia yang paling rendah diri padahal dia adalah seorang tokoh yang saya anggap sudah boleh jadi PM. Pada awal perjalanan kerana untuk manfaatkan masa bersama beliau yang cukup peramah yang melayani sesiapa saja, saya mulakan perbualan dengan mencuit secara berikut.

"Datuk, taukah datuk mengapa datuk kalah di Ampang Jaya?"

"Tak tahu. Kenapa?"

"Cina yang bagi tau saya. Mereka tak akan bagi tau Datuk. Saya Cina yang muslim, saya akan bagi tau Datuk. Menurut mereka Datuklah penyebab Mei 13"

"Ooh, ituu. Ah, macam ni ceritanya," Datuk Harun dengan tenang dan suara kebapaan pun menerangkan kepada saya kisah pengalamannya mengenai Mei 13 dan kami pun asyik berbual-bual mengenai sejarah itu, dan bukan sahaja itu tetapi banyak yang lain termasuk kes skandal tinju Muhammad Ali melibatkan beliau dan kes beliau masuk penjara, sehingga kenderaan limosinnya yang membawa kami selamat sampai ke tempat ceramah di Johor.

"Redhuan, nanti sekembali ke Kuala Lumpur, datanglah rumah saya", beliau mengajak. "Banyak bahan dan bukti tentang apa sebenarnya berlaku kepada politik masa itu. Awak tulislah buku yang awak minat.

Tetapi sedihnya saya tidak berdisiplin dalam hal janji ini dan tidak kembali berkunjung ke rumahnya sehingga beliau kembali ke rahmatullah. Saya terasa amat rugi selepas itu.

Dalam penglibatan saya dalam politik sebagai ahli PAS dari tahun 1984 ke 1995, saya mula mengetahui lebih lanjut dan mendalami tentang politik tanah air dari sudut yang unik, kerana saya dapat memasuki semua kampung-kampung dan semua dewan Cina untuk berceramah dan berdialog dengan kedua-dua kaum terbesar ini. Dari sana saya makin sedar isu-isu yang sebenar dan apa yang harus kita fokuskan dalam politik kita. Secara kesimpulan kita harus muafakat dan bertanggungjawab dalam segala percakapan dan tindakan kita dan menjurus ke satu kepimpinanan yang terpimpin oleh satu cahaya. Saya percaya cahaya itu adalah Cahaya Kesejahteraan untuk semua yang tertera dalam Ayat 13, Surah Al-Hujarat.

1 comment:

Unknown said...

Sekarang pun harap masih bersama Islam. Dan hrp Pas juga sentiasa brsama Islam selalu. Allahuakbar . Dari bahagian it banyak yg kita boleh bantu Pas

-penyokong pas di sg buloh