Sebelum saya memeluk agama Islam, saya senantiasa mencari-cari nama Tuhan yang sebenarnya. Di sebelah kiri adalah gambar simbol Hindu yang hampir sama dengan nama Allah dalam bahasa Arab. Persamaan ini tidak mengejutkan kerana memang asal-usul semua kita adalah daripada satu sumber atau punca.
Maka yang menjadi pencarian saya selama itu adalah tentang punca itu siapa dan mengapa. Bukanlah menjadi urusan saya, tentang siapa yang lebih dahulu tetapi siapa yang lebih benar, kerana saya ingin memeluknya dan mengikuti sehingga akhir hayat saya.
Kita sedia maklum bahawa tamaddun yang paling lama dalam sejarah manusia yang tertulis adalah antaranya dari Lembah Indus atau hari ini kawasan dari Iraq sehingga Sri Lanka. Pengaruh Sanskrit atau bahasa zaman purba ini begitu mempengaruhi kita sehingga hari ini banyak istilah bahasa kita dari situ (contohnya acara, saja, agama, asrama, baja, utama). Jerman pada zaman Hitler pun mempergunakan simbol svastika atau swastika seperti yang terpapar di sini. Simbol tersebut asalnya dari Hindu jua dimana maksud svastika itu adalah "menjadi baik".
Kini isu nama Allah atau simbol ketuhanan menjadi isu hangat kerana sebahagian dari kalangan umat Islam yang menentang kemenangan gereja Katholik mendapat keputusan oleh mahkamah membenarkan mereka menggunaakan nama perkataan 'Allah' dalam kitab Bible mereka yang beraliran Bahasa Malaysia.
Reaksi saya adalah pelbagai. Pertama saya rasa yang gereja Katholik ini harus dibanggakan kerana ada minat juga ia kepada bahasa kebangsaan kita. Kedua adalah lebih membanggakan bahawa ia menaruh minat yang tinggi terhadap penggunaan istilah 'Allah' dan bukan 'Tuhan'.
Kepada saya akan menjadi lebih mudah untuk berdakwah kepada mereka, kerana saya cuma memulakan ucapan saya dengan, 'Bismillahirrahmannirahim' tanpa mereka merasakan yang saya menyerang fahaman mereka.
Namun yang menjadi isu dikalangan umat Islam tempatan sebahagiannya adalah tentang kelemahan umat Islam itu sendiri yang rata-rata masih jahil tentang agama mereka sendiri. Jangan kata berdakwah, bertahan dari dakwah asing pun sudah kalah. Dari segi itu saya setuju. Lihatlah perangai muda-mudi kita yang berkeliaran di kota pada waktu terlalu siang dan sebagainya.
Tetapi apa mesej harus kita beri pula kepada umat bukan Islam? Bahawa kita lemah? Atau kita tidak lemah?