MSC Development Corporation atau MDec dan Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit atau MAMPU, telah memasukkan projek ADempiere sebagai salah satu projek Sumber Terbuka (Open Source) untuk membentangkan topik pada Open Source Conference 2009 yang akan diadakan pada Mei 31 sehingga Jun 3, di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Mereka telah sudi menjemput rakan saya dari Jerman, iaitu Kai Schaeffer untuk berucap mengenai potensi projek ini di negara Jerman yang berdepan dengan gergasi perisian yang sama sektor dengan projek kita iaitu SAP. Saya turut akan berucap mengenai trend dan beberapa potensi besar dari projek antarabangsa kita.
Terdapat satu hari Hackathon pada Mei 31, iaitu belajar secara percuma dan menguji bakat memasang sistem dimana hadiah kursus pendek percuma ditawarkan oleh Asia e-University. Pada Jun 1 sehingga 3, kemasukan adalah secara berbayar tetapi bagi pelajar adalah harga rendah.
Kursus saya di Asia e-University juga sudah siap 2 modul dan mereka dijadikan siri buku. Satu versi Inggeris sedang disunting oleh Pearson, dan satu lagi versi Bahasa oleh Dewan Bahasa & Pustaka.
Alhamdulilah saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan dan Dekan ICT, universiti tersebut (Dr. Nurhizam Safie) kerana atas visinya, serta dorongan tanpa henti, dan semangat yang lebih tinggi dari saya yang akhirnya berjaya juga mengeluarkan buku-buku yang saya sebagai penulisnya. Selama ini saya bercita-cita menjadi penulis buku, tetapi sejak 1985 hanya berangan-angan sahaja. Kali ini sudah menjadi kenyataan, saya berazam menulis makin banyak dalam subjek Sumber Terbuka ini.
Oh ya, saya akan menurut kawan saya dari Jerman itu kembali ke Berlin pada tanggal Jun 4 dan akan menjelajah sedikit sekitar Eropah sehingga June 25 kembali ke tanahair.