29 September, 2008

Jual Mercun

Semasa saya berada di tingkatan dua, Victoria Institution, KL, tahun 1975, saya selalu jalan dari sekolah saya ke perhentian bas di Jalan Melaka / Lebuh Ampang, dimana saya selalu lalu lorong-lorong jalan yang penuh dengan kedai dan masyarakat Cina.

Satu hari saya ternampak kedai Cina jual mercun lalu membeli satu bungkus dengan harga 50 sen untuk dilepaskan di kediaman kami di Blok 8, Kem Wardieburn. Setibanya di rumah, budak-budak Melayu yang berdekatan mengetahui yang saya ada mercun lalu meminta sedikit dan sanggup membelinya secara sebatang-batang mercun itu. 

Saya pun menjualnya dengan 5 sen sebatang. Ada yang membeli lebih dan saya memberi diskaun. Secara umum saya untung banyak kerana saya beli sebungkus yang mengandungi lebih dari 30 batang. Dengan lebih duit itu campur dengan duit simpanan saya membeli lagi bungkusan mercun di kedai Cina pada hari-hari berikutnya.

Makin ramai budak-budak Melayu datang ke rumah saya, menerusi iklan mulut ke mulut. Semakin hari semakin ramai yang datang membawa duit kocek untuk membeli mercun. Perniagaan kecil saya di celah pintu rumah bertambah baik tetapi saya ini bukan jenis suka perniagaan. Saya cuma suka main-main tetapi secara tidak sengaja sudah terberniaga.

Setahun kemudian emak saya mula berniaga secara serius disebabkan kekurangan gaji ayah saya selaku sarjan dalam Unit Semboyan Tentera. Emak saya berniaga air di tepi jalan luar Kem Wardieburn, menjual kotak serbuk cuci kain dari rumah ke rumah di sekeliling Kem. Satu hari ada orang mengseyorkan emak saya jual rokok di Kelak Kuda, Jalan Ampang kerana tiada orang yang menjualnya di luar kelab. 

Dari situlah emak saya paling mengaut banyak untung sekali sehingga dapat menampung saya dan adik beradik saya belajar dengan lebih selesa dan terbiaya sehingga akhirnya saya meninggalkan tingkatan enam rendah dan berhijrah meninggalkannya ke Melaka lalu memeluk Islam.

Tahun ini, saya tidak nampak beraya di mana-mana kampung kerana amat tidak suka kesesakan lalu-lintas. Saya juga tidak berapa suka lagu raya. Tidak mencerminkan semangat jiwa saya yang berbangsa Cina. Takbir secara suara rendah dan siuman adalah lebih baik dari berlagu dan menerusi pembesar suara.

Allahu Akbar, walillahil-hamd!

Salam Aidil Fitri Mubarak!

21 September, 2008

Biar Cina Kuasai Ekonomi

Dato Ahmad Ismail, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera dikatakan mencetuskan kontroversi kerana kata-katanya yang menyifatkan kaum Cina di negara ini sebagai asalnya setinggan di negara ini. Menurut Dato Ahmad, kenyataannya diputar-belitkan oleh pemberita di sini.

Kaum Cina pula amat sensitif jika dikaitkan sebagai kaum pendatang apatah lagi sebagai kaum setinggan. Padahal, pada hemat saya, apa salahnya dan ada betulnya kami ini kaum setinggan malah kamilah sebaik-baik penhijrah-pendatang-setinggan worldclass. Di mana-mana pun dalam dunia ini ada pendatang Cina, tidak kira dengan atau tanpa izin. 

ALLAH SWT menjadikan kaum Cina ini unik dari segi, dimana mereka berada, disitu ekonomi tempat itu maju sekali.  Tetapi apabila Cina itu duduk lama sangat, agak kehilangan sifat penhijrah dan pengerak ekonomi mereka itu. Contohnya di Malaysia ini. Saya lihat Cina ini sudah makin malas dan makin macam orang lain. Ingin pula macam bumiputera. Inggeris dah tak pandai, dan kerja pula asyik mahu kerusi empuk sahaja. Mereka juga turut terjangkit penyakit melatah. Orang sentuh asal-usul mereka sikit, dah melompat niamah habis.

Tetapi secara umum ekonomi negara kita amat untung kerana ada Cina. Malah saya ingin sekali menyarankan supaya biarlah Cina yang menguasai ekonomi dengan lebih hebat lagi. Janganlah kaum Melayu di sini risau kerana Melayu adalah pemegang tampuk pemerintahan dan mereka menentukan kuasa dan hukum peraturan ekonomi. Biarlah Melayu pakar dalam hukum-hakam ekonomi dan biarlah Cina menjalankannya dengan lancar sekali.

Segala keuntungan ekonomi hasil perniagaan Cina akan dituntut cukai oleh kerajaan dan makin banyak cukai dikutip makin banyak yang disalurkan kepada Melayu untuk kemudahan mereka. Inilah yang kita saksikan selama ini dimana ramai sekali orang Melayu mengecap hasil dan keuntungannya.

Lagi Cina diberikan kebebasan lagi mereka akan kerja kuat dan tidak menyalurkan wang mereka keluar negara. Ramai negara lain mengalu-alukan pelaburan orang kaya tidak kira mereka kaum mana. Kita juga harus sedemikian.

Apabila Cina merasakan Malaysia ini bagaikan syurga ekonomi mereka di dunia maka mereka akan cukup puas hati dan tidak akan menuntut apa-apa lagi hak sama-rata yang lain. Malah jika kita ujudkan pula satu zon keutamaan Cina yang mementingkan ekonomi Cina, mereka akan lebih takjub bahawa hanya di Malaysia sahaja Cina itu cukup dilayan istimewa sekali.

Mengapa tidak? Bukankah kita sudah ujudkan zon ekonomi untuk pelabur asing? Mengapa tidak manfaatkan hanya untuk Cina di Malaysia? Ini akan melenyapkan persepsi mereka tentang hak mereka apabila mereka dapati ada zon yang Melayu tidak dibenarkan masuk malah hanya bagi apek dan nyonya dia sahaja.

Lepas itu kita suruh orang Cina ini pilih: Mahu wang ke mahu politik? Percayalah, Cina akan 100% pilih wang. Jika tidak, itu bukan Cina. Itu mesti Cina sudah masuk Melayu namanya.

.. (gambar - suasana Chinatown di Toronto, Canada)

18 September, 2008

Jika Saya Ada 31 Nama

Saya tidak akan tidur lena. Entah bila-bila sahaja akan kena tembak. Itupun entah dari penjuru mana. Entah siapa akan memegang kitab melakukan sumpah di masjid esok nanti terhadap saya.

Kenapalah saya bagi tahu orang saya ada 31 nama? Apa makna senarai itu? Ia tidak lain tidak bukan angka keramat untuk menjatuhkan kerajaan. Alamak! Jatuhkan apa? Aduh, takkanlah saya dilihat lebih teruk dari perampas kapal terbang?

Saya cuma ingin mengumpulkan nama-nama untuk hidangan seterusnya. Itulah kerja saya. Saya penghibur arena politik no.1 mengalahkan Barak Obama (jika kat Malaysialah). Ini semua selera rakyat. Mereka cuma berpeluk tubuh menunggu orang lain merampas mikrofon dan mendendangkan lagu kesukaan mereka.

Apa rakyat suka? Mereka mahu perubahan. Tak kira siapa, asal ada yang sudi. Sekarang saya yang sudi atau dengan lebih tepat lagi, siapa yang mampu? Jika Abdul Hadi Awang mampu silakan. Jika Lim Kit Siang mampu silakan. 

Cuma perangai pemimpin ini berbedza-bedza. Ada yang tunggu dan lihat, dan ada yang maju ke depan mengambil inisiatif.  Maka kini nasib baik juga mampu saya mengumpul 12,500 PC online serentak dari seluruh dunia memandang ke ucapan saya.

Ya, saya ada senarai namanya. Dan kini 90,000 pucuk pistol dihala ke kepala saya. Keesokkan hari ribuan lagi pucuk rifel tentera turut bersama. Saya sangka dapat jumpa yang merangkap Menteri Kewangan. Rupa-rupanya dah jadi yang merangkap Menteri Pertahanan pula. Bahaya sangat ke? Aik, tak sempat saya tunjukkan senarai nama, nama saya pula dah masuk senarai ISA.

Ok, bertenang, bertenang. Ana sudah masuk dalam banyak kali. Apa salahnya masuk lagi sekali?

Cuma.... siapa pula ya? Yang akan mengambil alih senarai nama-nama ini? Sanggupkah saudara?

17 September, 2008

Dunia Kiamat Kerana Sains?

Disebabkan tiada perkembangan yang menarik (dalam minda saya) maka saya lebih banyak menghabiskan masa mencungkil ilmu daripada internet saban hari kerana banyak perkembangan terbaru tanpa henti dari segi sains dan teknologi terutamanya Large Haldron Collider (LHC) yang dilancarkan minggu lepas di Perancis dan Swizterland.




LHC ini adalah satu jenis peralatan untuk eksperimen manusia yang terbesar, terlama (20 tahun untuk dibina) dan terhebat iaitu melontarkan bijian proton (satu bahagian dari atom tanpa elektron) hampir kelajuan cahaya dalam satu terowong khas raksaksa sebesar linkungan 27 kilometer.

Sejarah melontarkan dan melanggar atom sesama sendiri telah mengakibatkan kebolehan mencipta bom atom. Penemuan manusia bahawa atom itu sebenarnya tiada jisim berat (mass) tetapi kuasa tenaga yang amat besar telah menghasilkan formula E=mc2 (tenaga adalah bersamaan dengan nilai berat didarab dengan kelajuan cahaya yang didarab dengan dirinya.

Maka hasilnya letupan sebesar atom uranium 238 dapat menghasilkan bencana di Hiroshima dan Nagasaki. Selepas itu manusia menghasilkan pula kebolehan meletupkan atom hidrogen yang ratusan kali lebih dasyat dari bom atom.

Namun tidaklah penemuan sub-atomik itu memberikan keburukan tetapi kebaikan jua terutamanya mengetahui dari Allah apa kita tidak mengetahui (janji Sura Al-Alaq) dan seterusnya manusia makin kagum dengan ciptaanNya yang tiada batasan hebat.

Kini dengan LHC, manusia ingin mengetahui apa sebenarnya terjadi dalam masa 0.0000000000...1 saat (berbillion-billion bahagian dari sesaat) selepas peristiwa Big Bang atau ciptaan alam ini 13.7 billion tahun yang silam. Masa yang singkat itulah jisim mula-mula sekali tercipta daripada tenaga yang tiada terhingga (hasil Nur dari Qun FayaQun Allah).

Ada yang bimbang bahawa dengan melanggar proton sesama sendiri boleh mencetuskan kuasa jisim yang terlampau iaitu mencipta BlackHole yang terlalu padat (sepadat matahari dalam satu sudu) dan seterusnya mengkiamatkan dunia. Berikut adalah salah satu senario yang ditakuti:


Kebaikannya ialah setelah manusia mengetahui sebenarnya apa yang berlaku yang semestinya membuka lagi satu tabir tanda Allah Yang Maha Besar, dan manusia dapat mencapai ciptaan yang amat hebat seperti robot-nano, perubahan genetik dan kawalan alam yang menakjubkan. 

Saya percaya kiamat tidak akan datang secara tersebut kerana ayat Al-Alaq tadi. Memang sengaja Allah ingin manusia mengetahui segala ini sebelum kiamat. Mungkin saat itu apabila sudah tiada ilmu lagi (mustahil). Juga kan hanya Allah sahaja yang mengetahui jam sebenarnya berlaku Qiamat?

Kembali sedikit kepada politik tanahair. Saya tetap mengikuti perkembangan. Semalam dapat menonton live feed dari anwaribrahim.com. Tiada komen yang mendalam dari minda saya setakat ini.

(Juga salam berpuasa dalam bulan Ramadhan yang amat berkat ini kepada semua peminat 'red1' dimana anda jua berada! Cuti raya nanti ingat-ingatlah saya. Maklumlah saya tiada kampung Melayu, pendatanggg...)