13 September, 2010

Percaya Anak Tuhan

Rukun utama dalam kepercayaan saya sebagai seorang Kristian (semasa tingkatan 1(1974) dan kemudiannya sambung kembali dalam tingkatan 5 (1978)) iaitu Nabi Isa (Jesus) sebagai anak tuhan (son of god). Kepercayaan itu diterima oleh saya ketika itu kerana unsur pengaruh pelbagai jenis dari rakan-rakan gereja, pengikut Kristian yang lain dan pengisian tanpa henti sebagai seorang penganut fahaman Kristian.

Sahabat-handai saya yang turut aktif sebagai ahlul jemaah Kristian senantiasa kuat mengikuti Bible, berdoa, dan berjemaah untuk menjaga kepentingan mereka yang kurang bernasib baik sehingga ia amat mendorong saya untuk mempercayai segala yang dibawa.

Kami sentiasa ke gereja dan mengikuti upacara pembelajaran yang dinamakan Quiet Time (waktu senyap) bersama Bible. Apabila orang-orang disekeliling kita mempercayai sesuatu perkara secara berkelompok, maka kita sendiri pun turut terbawa dan terpengaruh kuat dengan pegangan tersebut.

Sering dalam gereja, hadirin akan meluahkan perasaan yang kuat diri mereka serta pengalaman mereka diiringi dengan alunan irama dan mainan choir penyanyi di hadapan. Semua ini mendatangkan kesan yang cukup mendalam nilai psikologi kepada sesiapa yang lemah imannya.

Percaya bahawa Jesus itu anak tuhan amat utama sehingga sekiranya pegangan ini dipersoalkan maka hilanglah pengaruh gereja maupun keyakinan terhadap agama Kristian itu. Ini adalah rukun iman Kristian yang membezakannya dari agama Yahudi Judaisma dan agama Islam, iaitu dua agama samawi (langit) yang lain.

Lazimnya apa jua tindakan menyoal seseorang Kristian yang tertutup pemikirannya akan ditentang secara penutupan total hati-hati mereka. Ini kerana mereka menganggap pengalaman mereka terhadap pegangan mereka berdasarkan bukan kepada fakta tetapi kepada perasaan dan psikologi. Mereka pun tidak menganggapnya sebagai emosi tetapi sebagai satu pengalaman hakiki tentang Ruh Kudus yang benar-benar memasuki diri mereka. Apa jua pengalaman sekililing mereka ditafsir sebagai kesan secara langsung dari Ruh Kudus itu. Ruh Kudus adalah teman akrab dalam Trinity atau Segi-Tiga ketuhanan Kristian. Tuhan adalah Bapa, Anak dan Ruh dalam konsep tersebut.

Tetapi bukan semua Kristian yang tertutup dalam mempersoalkan perkara ini. Semasa saya mengikuti mereka saya terjumpa juga yang menyoalkan perkara ini tetapi kerana tiada pihak ketiga di situ untuk memperkenalkan jawapan selain dari mereka, maka tidaklah mudah bagi mereka terjumpa jalan keluar. Saya terserempak dengan Islam pun adalah secara terkejut dan tidak terancang. Rintitan peristiwa hidup saya yang membawa saya kepada satu jalan yang lain. Boleh dikatakan ia adalah Hidayah Allah semata-mata. Tetapi untuk menyatakan perkara sedemikian adalah sama dengan cara Kristian memperjelaskan pengalaman mereka atau seorang pengikut ESQ memperjelaskan pengalaman dirinya.

Dengan itu dalam menerangkan perkara sedemikian yang dianggap spiritual kita haruslah bersikap objektif dan dari situlah dapat saya membuktikan sekurang-kurangnya kepada diri saya sendiri bahawa Nabi Isa itu bukan anak tuhan tetapi adalah Isa ibnu Maryam (Jesus, son of Mary) alMasihi (The Messiah), aRuhullah (Spirit of God) disamping tidak dilahirkan Tuhan yang bukan dilahirkan jua. Pegangan saya kepada Al-Quran ialah kerana unsur fakta dan penyelidikan seterusnya. Ia bukanlah takliq atau pegangan buta tuli tanpa mencari dalil dan asbabul nuzul berkaitan.

Sikap mencari ilmu sebenar adalah satu jalan Allah dan menuju kebenaran Allah yang tidak mudah tercapai sekiranya kita menganggap kita sudah selamat kerana terlahir sebagai anak ibu-bapa kita tanpa perlu lagi mencari kebenaran atau mendalaminya.

Setiap hari dalam pembacaan saya dari Kitab-kitab Allah membongkarkan kepada saya tujuan hidup kita semua yang sebenarnya dan mendedahkan konsep Tuhan yang setingginya.

1 comment:

CayaLah said...

ikhlas dari lubuk hati yang merindui keredhaan Ilahi