20 September, 2010

Mengucap Kalimah Sahadah

Pada tanggal 12 bulan Januari, tahun 1980, taqwim Yunani-Kristian, bersamaan dengan tahun hijrah 1400, saya mengucapkan kalimah sahadah di depan seorang Penolong Kadi, Pejabat Agama Islam di bandar Melaka. Saya ditanya apa nama Islam yang saya inginkan. Dalam perjalanan ke pejabat agama, saya dan sahabat yang membawa saya, iaitu Amir Hamzah (tuan punya pengasas air homopati ECPI kini) berbincang apakah nama saya boleh jadi Muhammad Isa dan sebagainya. Tetapi sebaik saja kami ditanya, Penolong Kadi pun seterusnya memberikan nama saya, "Mohd Redhuan" dengan tulisan dan ejaan yang sedemikian rupa dan lain dari Redzuan atau Ridhuan yang lain. (Redzuan Hashim adalah kawan Sekolah Menengah Victoria tahun sama dengan saya dan Ridhuan Tee adalah kenalan saya beberapa tahun kemudian).

Saya ditanya siapa keluarga angkat Islam yang saya ada dan saya namakan keluarga Amir Hamzah. Saya disuruh kembali kepada pejabatnya beberapa minggu kemudian untuk satu ujian lisan dan mendapat kad pengIslaman saya. Apabila saya kembali kepada pejabatnya kemudian saya telah diuji dalam fahaman saya tentang Islam dan diterima sebagai lulus. Saya pun diberikan sedikit wang zakat tak sampai seratus ringgit.

Tidak lama 2 atau 3 bulan kemudian saya dibawa oleh abang angkat saya lalu tertarik dengan seorang aktivis gerakan Tabligh yang duduk di depan Masjid Tengkera, iaitu Chegu Sallehuddin lalu saya meminta diri dari rumah Amir Hamzah dan mengikuti Chegu Sallehuddin dengan hanya bekalan beberapa helai dan sepinggang. Tetapi jiwa saya cukup tenang dan lapang kerana menjelajah hidup yang lain dari yang lain dan bebas dari tuntutan dunia buat seketika. Peristiwa demi peristiwa serta rintitan hidup telah membawa saya terjumpa orang tertentu dan gerakan lain tertentu sehinggalah ke hari ini, dapat saya menyimpulkan yang selama ini hanyalah Allah yang sebenar-benarnya Pemberi Petunjuk dan Pertolongan. Banyak ilmu dan pendalaman agama yang saya temui yang tidak mungkin terjadi sekiranya saya terus ke universiti secara normal dan bekerja seperti orang lain yang sezaman dengan saya.

No comments: